Isnin, 15 Julai 2013

Bazar Ramadan dipantau

Bazar Ramadan dipantau
Sham memakai apron dan topi sumbangan Pejabat Kesihatan Daerah Kerian kepada seorang pengusaha bazar Ramadan di pekan Bagan Serai, kelmarin.


















BAGAN SERAI - Pejabat Kesihatan Daerah Kerian (PKDK) dengan kerjasama Majlis Daerah Kerian (MDK) dan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Parit Buntar  akan memantau ketat di 10 bazar Ramadan di seluruh Kerian.

Pemantauan itu diadakan bagi memastikan makanan yang dijual peniaga sentiasa bersih dan selamat untuk dimakan.

Pegawai PKDK, Dr Thaherah Nor berkata, penjual juga dikehendaki mengambil suntikan tifoid dan mengetahui langkah diperlukan untuk penyediaan makanan melalui kempen kesedaran anjuran pihaknya.

Menurutnya, sebagai langkah awal, pihaknya mengadakan kempen kesedaran di setiap bazar Ramadan di Kerian bagi memberi penerangan kepada penjual mengenai kepentingan penjagaan kebersihan makanan.

“Aktiviti pemantauan ini termasuk membuat pemeriksaan terhadap sampel makanan dan penilaian tahap kebersihan premis bagi memastikan makanan itu tidak rosak serta mematuhi piawaian ditetapkan Pejabat Kesihatan.

“Beberapa premis diberikan amaran mengenai kegagalan pengusahanya mematuhi piawaian ditetapkan kami dan nasihat juga sudah diberikan,” katanya selepas melancarkan Kempen Kesedaran Kebersihan Makanan peringkat daerah Kerian di Bazar Ramadan Pekan Bagan Serai, kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Adun Alor Pongsu, Datuk Sham Mat Sahat dan dihadiri Ketua Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) cawangan Parit Buntar, Abdul Rahman Yang Mohd Yusof.

Sementara itu, Dr Thaherah berkata, penjual dinasihatkan supaya memastikan bekalan mentah termasuk air dan peralatan yang digunakan dalam proses penyediaan berkeadaan bersih.

Menurutnya, penggunaan sarung tangan penting bagi mengelakkan makanan yang dijual tercemar oleh bakteria yang terdapat pada tangan penjual.

“Kita menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati apabila membeli makanan yang mudah dicemari kerana mempunyai santan seperti kerabu, kuih-muih serta air minuman terutama air tebu.

“Jika ingin membeli juadah seperti ini, pengunjung perlu membeli makanan serta minuman di premis yang bersih dan menyediakan makanan yang segar,” katanya.

Dr Thaherah berkata, sehingga kini, pihaknya masih belum menerima laporan mengenai kes keracunan makanan berlaku melibatkan mana-mana bazar Ramadan di Kerian.

Bagaimanapun, pihaknya memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana penjual yang masih gagal memastikan standard kebersihan makanan dan minuman dijual memenuhi piawaian ditetapkan Jabatan Kesihatan Negeri.

Dalam pada itu, Sham turut menyokong usaha Pejabat Kesihatan Daerah Kerian mengadakan pemantauan ketat di setiap bazar Ramadan di daerah ini.

“Perkara ini perlu demi menjamin kebersihan makanan yang bakal dijamu kepada pelanggan kelak,” katanya.

(Dipetik daripada Sinar Harian, 13 Julai 2013)

Tiada ulasan:

Catat Ulasan